Tips memilih minyak wangi yang sesuai
- Ketahui fungsi minyak wangi iaitu daripada jenis Eau de Parfum (minyak) atau Eau de Toilette (semburan).
- Eau de Parfum lebih bertahan lama berbanding Eau de Toilette.
- Bau haruman pada botol tidak semestinya sama selepas anda memakainya. Sebaiknya, sembur haruman pada kertas atau di pergelangan tangan untuk mendapat pengesahan.
- Biarkan beberapa minit untuk mendapatkan bau sebenar meresap lalu dipastikan serasi atau tidak.
- Sembur minyak wangi pada pergelangan tangan, bahagian nadi dan leher untuk memastikan haruman tahan lama dan merebak.
- Tidak semestinya haruman yang dipakai orang lain sama kesannya dengan anda kerana faktor biologi dan hormon badan manusia.
- Hidu biji kopi andai anda ingin segera menghilangkan bau haruman dan mencuba haruman lain.
- Ada minyak wangi menjanjikan haruman berkekalan sehingga lapan jam apabila disembur. Secara purata kesan bau haruman mampu bertahan empat jam.
- Akhir sekali, jangan malu mendapatkan bantuan jurujual untuk memperoleh lebih banyak maklumat mengenai sesuatu produk.
Minyak wangi mencerminkan imej
BIARPUN sekadar bau, pemilihan minyak wangi sesuai mampu menyerlahkan karektor empunya diri. Sama ada haruman daripada jenis Eau de Parfum (minyak) ataupun Eau de Toilette (semburan), lelaki harus memahami fungsi minyak wangi.
Jika dulu haruman dan wangian lebih dekat dengan wanita, lelaki zaman moden semakin menitik berat soal penjagaan diri termasuk menyembur haruman.
Sesuai dengan imej maskulin dan kelelakian, haruman untuk lelaki banyak berteraskan pati buah-buahan, rempah dan aroma kayu yang membangkit pesona dan tarikan maskulin.
Tidak seperti wanita yang lebih sinonim dengan unsur bunga-bungaan, haruman untuk lelaki lebih berunsur maskulin dan berbau sedikit kuat untuk menampakkan karektor sebenar lelaki.
Difahamkan, seni pembuatan minyak wangi bermula ketika zaman kuno masyarakat Mesir. Ia berkembang di kalangan masyarakat Rom dan Arab sebelum diperkenalkan di Eropah pada kurun ke-14. Perkataan perfume itu sendiri dipercayai berasal dari ungkapan Latin.
Pemilihan haruman yang sesuai mampu menonjolkan karektor diri, sama ada romantik, periang, tegas dan bercirikan individu.
Biar apapun pilihan haruman berdasarkan cita rasa dan identiti diri, pastikan minyak wangi yang digunakan sesuai dengan acara dihadiri. Elak menyembur minyak wangi beraroma kuat pada waktu siang serta usah menyimpan minyak wangi hingga tempoh tiga tahun dari jangka hayat penggunaannya.
